RINGKASAN EKSEKUTIF

Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd. (SAKAN), nombor pendaftaran 550991-A yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 telah ditubuhkan pada Jun 2001 merupakan sebuah syarikat milik penuh bumiputera.

Aktiviti perniagaan yang melibatkan jualan runcit dan borong menumpukan kepada jualan pakaian untuk semua peringkat umur, pakaian dan keperluan sekolah, pakaian dan peralatan bayi, barang-barang kelengkapan rumah merangkumi peralatan dapur, bilik tidur, permaidani, selimut dan set katil (toto, narita) sehingga kepada keperluan umrah dan haji.

Pada masa ini, SAKAN mempunyai tujuh puluh tujuh (77) cawangan pasaraya di seluruh Malaysia yang beribu pejabat di Kuala Kangsar, Perak. Dalam perniagaan ini, perancangan dilakukan berdasarkan analisa terhadap faktor kepadatan penduduk berbangsa Melayu, kuasa pembeli setempat, lokasi dan persekitaran perniagaan. Faktor harga dan pesaing merupakan faktor kedua kerana syarikat mampu bersaing dari sudut harga.

Kejayaan SAKAN bergantung kepada matlamat dan objektif yang ditetapkan selain faktor pengurusan wang dan pentadbiran yang terancang. Sejak SAKAN ditubuhkan secara rasmi pada Jun 2001, sambutan pelanggan dan jualan syarikat amat memberangsangkan. Konsep jualan pada harga borong dalam strategi pemasaran kami mencapai sasaran dan dapat memperkukuhkan lagi prestasi kewangan syarikat.

Dalam masa lima belas (15) tahun ditubuhkan, kami mampu membuktikan bahawa kami antara peniaga Bumiputera yang mampu beroperasi dan bersaing sehingga mempunyai tujuh puluh tujuh (77) cawangan di seluruh negara dengan kakitangan hampir 1,000 orang.

PENGENALAN

Keperluan hidup manusia (pakaian, tempat tinggal dan makanan) adalah fokus barangan jualan SAKAN. SAKAN menyediakan pakaian untuk semua peringkat umur termasuk lelaki, wanita, remaja, kanak-kanak dan bayi dalam berbagai jenis, corak, kualiti dengan harga rendah.

Dewasa ini masyarakat lebih berhati-hati, prihatin dan mempunyai informasi yang luas terhadap harga barang keperluan dan di mana untuk membeli.

Berdasarkan komen yang kami terima, pelanggan yang 95% terdiri dari masyarakat Islam mahu berbelanja di kedai-kedai dan pasaraya milik bumiputera, tetapi memandangkan jumlahnya amat kecil dan kebanyakannya tidak mampu bersaing maka keinginan itu terkubur.

Oleh itu, SAKAN yang mampu bersaing dari segi harga dan kepelbagaian barang, mendapat tempat di pasaran di samping dapat menunaikan fardhu kifayah. Kami mahu pelanggan merasakan bahawa membeli belah di SAKAN bukan hanya dapat berjimat dengan harga borong yang ditawarkan malah mendapat layanan yang memuaskan.

Menyedari hakikat di pasaran kini, maka kami telah merancang untuk memperluaskan cawangan yang sedia ada ke beberapa tempat yang telah dikenal pasti. Keyakinan serta kesungguhan pihak pengurusan dan semua kakitangan syarikat memberi keyakinan untuk mencapai matlamat syarikat di masa hadapan.