PENTADBIRAN & AKAUN

Bahagian ini beroperasi di Ibu Pejabat syarikat di Kuala Kangsar. Ibu Pejabat yang diketuai oleh Pengarah Pentadbiran dan Perakaunan bertindak mentadbir syarikat termasuk perjalanan syarikat, kewangan syarikat samada pendapatan melalui jualan mahupun perbelanjaan. Ibu pejabat juga bertindak mengurus dan memantau semua perjalanan cawangan meliputi jualan, kos dan perbelanjaan cawangan, sumber manusia, laporan jualan harian, memeriksa urusan kemasukan wang jualan, laporan cawangan dan lain-lain hal berkaitan cawangan. Bahagian ini juga bertanggungjawab menjalin hubungan baik dengan badan kerajaan, kakitangan, pembekal, pelanggan dan lain-lain samada yang terlibat secara langsung atau tidak. Semua urusan pembayaran bagi pembelian barang jualan, kos tetap dan berubah setiap cawangan dan lain-lain hanya dilakukan di sini sahaja. Terdapat penggabungan untuk semua akaun bagi setiap tahun berakhir.

PEMBELIAN

Pembelian barang dilakukan sendiri oleh Pengarah Urusan syarikat untuk memastikan semua kualiti dan harga barang dikawal. Selain dari dalam negara, stok barang juga diperolehi dari China, Thailand, Vietnam, Indonesia, India serta Bangladesh. Selain dari mengekalkan hubungan baik dengan pembekal, yang sedia ada, bahagian ini juga bertanggungjawab mencari pembekal baru yang menawarkan harga lebih murah atau kepelbagaian jenis barang. Selain dari sistem stok komputer (barcode), terdapat juga borang pesanan pembelian yang digunakan oleh cawangan untuk pesanan dari stor syarikat atau pesanan diantara cawangan. Urusan pemebelian ini juga dibantu oleh Pengarah Pembelian dan Pemasaran selain sebagai strategi kesinambungan perniagaan.

Semua urusan pembayaran dilakukan oleh Bahagian Akaun selepas mendapat tandatangan pengesahan dari Bahagian Penerimaan Barang (Setor) dan pengesahan Pengarah.

PEMASARAN

Dari sudut pemasaran, lokasi adalah penting untuk memenuhi sasaran pasaran terpilih. Pengurusan juga sentiasa mengatur beberapa strategi untuk tujuan promosi terutama semasa pembukaan cawangan baru. Promosi pembukaan adalah penting untuk memperkenalkan dan memastikan SAKAN sentiasa di fikiran dan menjadi buah mulut pelanggan. Antara promosi lain yang diadakan oleh syarikat adalah:

  • Telah membina billboard SAKAN di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.
  • Mengadakan slot iklan setiap tahun samada di Radio ERA, SINAR FM, HOT FM, Kedah FM atau Perak FM serta tayangan iklan di saluran RTM, TV 3 dan TV 9 bergantung kepada tujuan promosi dan musim.
  • Mengedar helaian maklumat promosi (flyers), kain rentang (banner), risalah (brochure).
  • Mengadakan lelongan barangan dan memberi potongan harga istimewa (sehingga di bawah paras kos bagi barangan tertentu).
  • Mengadakan Cabutan Bertuah sebanyak 2 kali setiap tahun iaitu pada bulan Jun dan Disember. Dengan menawarkan lebih 300 hadiah yang berupa barangan elektrik untuk semua cawangan. Pada Disember 2010 sempena Ulangtahun SAKAN ke 10, hadiah-hadiah utama merupakan lima (5) Kereta Perodua VIVA dan enam puluh dua (62) buah motosikal EX5 telah berjaya dimenangi oleh pelanggan SAKAN.
  • Mengadakan 18 buah billboard SAKAN di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.
  • Mempelbagaikan pilihan barangan yang sedia ada sesuai untuk semua golongan.
  • Mengaktifkan laman web SAKAN dan facebook SAKAN. Dengan adanya laman web dan facebook ini, semua maklumat-maklumat baru mengenai cawangan, barang-barang promosi, komen serta maklumbalas pelanggan serta mengiklankan jawatan kosong lebih mudah dan efektif. Laman web ini juga memudahkan komunikasi antara pihak syarikat dengan pembekal-pembekal di dalam dan luar negara.

Sebagai orang yang terlibat secara langsung di bahagian ini, Pengarah Pembangunan Korporat bertnggungjawab menentukan susun atur dan peragaan barang dan mencari idea bagi menarik minat pelanggan. Beliau turut dibantu oleh Unit Audit syarikat dalam memantau susun atur dan peragaan barang di cawangan.

INVENTORI

Setiap barang yang diterima daripada pembekal akan disimpan di dalam stor sebelum diagihkan ke cawangan. Sistem stok (barcode) ini memudahkan penerimaan barang, penghantaran barang, agihan barang, pemeriksaan baki stok di semua cawangan dan memudahkan urusan pembelian barang oleh pengarah syarikat. Sistem ini memudahkan penghantaran barang ke cawangan atau di antara cawangan memandangkan jumlah stok dan jenis barangan yang semakin bertambah. Semua produk diterima dan diagihkan melalui sistem peruncitan POS (Point of Sales) dan semua maklumat termasuk maklumat jualan kemudiannya disalurkan ke cawangan melalui modem. Sistem stok dan POS ini diselenggarakan berasaskan sistem kontrak oleh penjual/ejen perisian komputer.

KESELAMATAN

SAKAN mempunyai sistem kamera litar tertutup(CCTV) berkomputer yang berfungsi 24 jam melalui siaran secara langsung (broadband). Dengan cara ini pengarah-pengarah dan pengurusan syarikat dapat mengawasi secara langsung aktiviti di setiap cawangan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Kini hampir kesemua cawangan kami mempunyai sistem kamera litar tertutup sepenuhnya dengan kawalan sepenuhnya dari bilik khas yang terletak di Ibu Pejabat, Kuala Kangsar.